5 Februari 2009
Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-LahPaduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan
Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.
Assalamualaikum
Ampun Tuanku,
Dengan hormat dan takzimnya patik merafa’kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.
Ampun Tuanku,
MERAFA’ SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Patik merafa’ sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:
1. Artikel XVI(6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa “If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council”. Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.
2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahawa ADUN bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi ADUN. YB Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga ADUN berkenaan bukannya ADUN untuk kawasan-kawasan tersebut di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan Mahkamah dalam kes tersebut.
Ampun Tuanku,
Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demokrasi dan Raja Berperlembagaan Patik dengan ini merafa’ sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.
Ampun Tuanku,
Patik dengan ini merafa’ sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta Patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.
Ampun Tuanku,
Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata’ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan.
Amin Ya Rabbal ‘Alamin
Ampun Tuanku,
Patik dengan segala hormat takzimnya;Bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat
YAB Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin JamaluddinMenteri Besar Perak Darul Ridzuan
Tegakkan Islam menjadi fardu ain. Kuasa besar kafir
17 hours ago
No comments:
Post a Comment